Tuesday 11 December 2012

Tarian Bharata Natyam


                                                                           
                                                                           
                                                                           
Tarian Bharata Natyam merupakan salah satu gaya tarian klassik India. Tarian klassik Bharata Natyam merupakan salah satu tarian yang penuh dengan tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap, penuh dengan kegemilangan.Tarian ini berasal daripada wilayah Tamil Nadu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh  penari wanita.Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat di kenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya (Tarian Ekspresi).
Latar belakang dan sejarah Tarian Bharata Natyam
Kebudayaan India telahpun wujud selama beribu tahun dahulu. Dengan itu, kebudayaan India sangat kaya dengan pelbagai jenis tarian suku kaum India.Tarian India boleh dibahagikan kepada gaya klasik dan gaya tradisional. Daripada tujuh gaya klasiknya yang paling dikenali adalah Bharata Natyam, Odissi, Mohiniattam, Khatak, Kathakali, Kuchupuddi dan Manipuri. Tarian itu banyak bersandarkan unsur keagamaan Hindu dan cerita daripada tulisan purba Sanskrit Natyashastra. Bharata Natyam ialah “seni bercerita”, dari sifat asalnya yang merupakan ekspresi menghambakan diri kepada tuhan-tuhan Hindu.
Interpretasi umum untuk nama Bharata Natyam:
BHA (ekspresi) + RA (muzik) + TA (irama) + NATYAM (tarian) = Bharata Natyam
Cara Bharata Natyam ditarikan
Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat dikenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya. Seorang penari profesional tarian ini harus mempunyai beberapa sifat, antaranya kelihatan muda, langsing, bermata besar, berkeyakinan diri, berkeupayaan mengikut alunan muzik dan menyanyi.
Menurut Abhinayadarpanam (dokumen yang sangat berkuasa berkaitan Bharata Natyam), seorang penari profesional Bharata Natyam harus mempunyai sepuluh sifat utama iaitu: Javaha (Ketangkasan), Sthirathvam (Kemantapan), rekha (bentuk badan yang cantik), Bhramari (keseimbangan dalam pusingan), Drishti (pandangan mata), Shramaha (kerajinan), Medha (kebijaksanaan), Shraddha (kesetiaan), Vacho (pertuturan yang baik), dan Geetam (kemampuan bernyanyi).
Bharata Natyam dari campuran abstrak dan emosi yang berasal daripada campuran dua unsur utama iaitu nritta (tarian tulen tanpa makna perasaan) & nritya (tarian yang mempunyai perasaan). Bharata Natyam berasal daripada perbezaan yang banyak antara unsur-unsur yang digunakan. Nritta merangkumi adavus, yang merupakan tarian asas Bharata Natyam. Setiap adavu mempunyai 3 elemen penting iaitu posisi berdiri asas (sthanaka), gerakan kaki (chari) dan pergerakan tangan yang dihias (nritta-hasta).
Muzik iringan untuk Bharata Natyam ialah muzik Carnatic gaya India Selatan. Biasanya kumpulan pemain muzik Carnatic menggunakan instrumen iaitu mridangam (drum), nagaswaram (paip panjang berbentuk tanduk yang dibuat daripada kayu hitam), suling, biola dan veena (alat muzik dengan tali yang dimainkan dengan menyentuh tali-tali dengan penggesek yang berkait dengan Saraswati, dewi Hindu.Bahasa Tamil, Telugu, Kannada dan Sanskrit biasanya digunakan dalam Bharata Natyam.
Selain perkara-pekara ini yang agak moden, terdapat perkara yang dahulu kala seperti Kautuvam, Koothu, Shlokam, Swarajathi, dan Krithi. Persembahan disimpulkan dengan lagu daripada beberapa ayat-ayat agama sebagai satu bentuk ucapan syukur. Gaya tertentu mempunyai perkara-perkara yang lebih maju, seperti Tharanga Nritham dan Suddha Nritham. Apabila seorang penari telah menguasai semua elemen tarian Bharata Natyam, semasa persembahan, dia biasanya mempersembahkan Arangetram (debut).

No comments:

Post a Comment