Saturday 24 November 2012

Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Muzik Sekolah Rendah



Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Muzik Sekolah Rendah
03 Jun 2005
Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Muzik Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: BPPDP, 2000.

1.0 Latar Belakang
Pada tahun 1979, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah mengambil keputusan untuk menjadikan pendidikan muzik sebagai satu mata pelajaran yang digalakkan bagi semua pelajar peringkat sekolah rendah di Malaysia. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah ditugaskan untuk merancang satu sukatan pelajaran muzik dan mata pelajaran muzik KBSR telah dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 1983. Objektif sukatan pelajaran ini menekankan kepada pembentukan kemahiran murid. Pada tahun 1995, sukatan pelajaran muzik yang baru telah diterbitkan oleh PPK. Matlamat kurikulum baru ini pula bertujuan untuk memperkembangkan potensi dan kualiti diri individu dari segi nilai estetika muzik dan etika melalui pelbagai pengalaman muzik ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup dalam konteks pelbagai budaya dan aspirasi negara.

2.0 Pernyataan Masalah
Mengikut Johami (1997) kualiti pengajaran muzik boleh dikatakan kurang memuaskan pada keseluruhannya kerana sebahagian besar tenaga pengajar
muzik yang terlibat tidak menerima latihan yang mencukupi. Peralatan yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 1983 telah usang dan jarang
sekali diganti dan ini menjejaskan pengajaran guru. Pendidikan muzik bukan mata pelajaran yang diuji dalam peperiksaan awam, oleh itu ada sekolah
yang tidak mementingkan mata pelajaran ini. Tahap pendidikan muzik secara formal hanya di peringkat rendah sahaja, peluang untuk mengembangkan
potensi dan bakat dalam bidang muzik adalah terhad manakala kegiatan kokurikulum muzik seperti persatuan muzik sekolah hanya wujud di
sekolah-sekolah yang mampu menyediakan kemudahan peralatan muzik sahaja.
3.0 Objektif Kajian
Secara amnya, kajian ini mengkaji pelaksanaan pendidikan muzik yang telah bemula sejak tahun 1983 di peringkat sekolah rendah dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

4.0 Soalan Kajian
Berdasarkan kepada objektif di atas, beberapa soalan kajian telah dibentuk untuk dikaji.
a. Bagaimanakah cirri-ciri guru muzik yang mengajar muzik di sekolah rendah?
b. Sejauh manakah pelaksanaan pendidikan muzik di sekolah rendah berjaya mencapai
objektif kurikulumnya?
c. Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh guru muzik dalam pengajaran dan
pembelajaran pendidikan muzik di sekolah?
d. Adakah peruntukan yang disediakan dapat memenuhi keperluan pendidikan muzik di
sekolah?
e. Bagaimanakah persepsi murid-murid terhadap mata pelajaran pendidikan muzik?
f. Bagaimanakah persepsi guru muzik terhadap mata pelajaran pendidikan muzik?
g. Bagaimanakah persepsi ibu bapa terhadap mata pelajaran pendidikan muzik?
h. Bagaimanakah persepsi pengurus kurikulum terhadap pendidikan muzik di sekolah
rendah?
i. Sejauh manakah pelaksanaan aktiviti kokurikulum muzik dilaksanakan di sekolah
rendah?
j. Apakah cadangan-cadangan bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran
pendidikan muzik sekolah rendah?

5.0 Metodologi Kajian
Seramai 1,101 orang Pengurus Kurikulum yang terdiri dari 539 Guru Besar, 518 orang Penolong Kanan, 8 orang pegawai Jemaah Nazir Persekutuan, 10 orang Penyelia Muzik Negeri dan 26 orang Pensyarah Maktab Perguruan telah menjadi responden kajian ini. 625 orang guru muzik telah menjawab soal selidik tersebut bersama dengan 2,824 orang murid dan 2,731 orang ibu bapa. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada: Soal selidik untuk guru besar, guru-guru penolong kanan dan guru-guru muzik; senarai semak temu bual guru / guru muzik dan murid-murid; senarai semak bagi alat bantuan mengajar muzik yang terdapat di sekolah dan senarai semak pemerhatian pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Data dipungut dengan menggunakan kaedah kuantitatif atau melalui pentadbiran soal selidik dianalisis dengan menggunakan perisisan SPSS. Analisis dilakukan secara deskriptif dengan menggunakan kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, ralat piawai dengan 95% selang kepercayaan. Selain itu analisis ANOVA sehala dan ujian-t juga digunakan bagi menentukan kesignifikan dalam min bagi kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam kajian ini tentang sesuatu pembolehubah. Data yang dipungut melalui temu bual dianalisis secara mengumpul dan mengelompokkannya kepada tema-tema khusus berdasarkan soalan kajian ini.

6.0 Dapatan Kajian
6.1 Ciri-ciri Guru Muzik Yang Mengajar Pendidikan Muzik
Sebahagian sahaja guru (45.5%) yang mengajar muzik mempunyai opsyen muzik dan sebahagian besarnya pula mengajar di Sekolah Kebangsaan. Sebahagian kecil sahaja guru yang mengajar muzik boleh bermain alat muzik terutama rekorder, piano dan organ. Sebahagian besar guru yang mengajar muzik mempunyai minat dalam bidang muzik terutama vokal dan instrumen dan boleh menyanyi mengikut nada. Sebahagian sahaja guru yang mengajar muzik pernah mengikuti kursus muzik dan mereka berpendapat kursus muzik yang dihadiri dapat membantu dan memberi keyakinan kepada mereka dalam pengajaran dan pembelajaran muzik di bilik darjah.

6.2 Pencapaian Objektif Kurikulum Pendidikan Muzik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
6.2.1 40% - 60% sahaja guru muzik menilai pengajaran muzik mereka mencapai objektifnya, iaitu antaranya: Meningkatkan kemahiran murid mendengar dan mengenal notasi muzik. Memupuk semangat berusaha, berdisiplin, berkeyakinan diri, bertoleransi dan bekerjasama. Meningkatkan kebolehan murid mengenal dan menghargai pelbagai jenis muzik tanah air. Memperkembang kebolehan murid mengenal dan menghargai pelbagai jenis muzik tanah air. Memperkembang kreativiti, nilai estitika dan ekspresi diri serta menikmati muzik di kalangan murid-murid. Objektif berkaitan merasai dan mengenal konsep muzik gagal dicapai oleh sebahagian besar guru muzik sekolah rendah.

6.2.2 16% - 30% guru tidak tahu dan tidak jelas tentang objektif-objektif pelaksanaan kurikulum muzik rendah. Majoriti guru-guru itu tidak beropsyen muzik dan sebahagian besarnya mengajar di luar bandar.

6.2.3 Wujud perbezaan pencapaian objektif-objektif pelaksanaan pendidikan muzik dalam pengajaran guru berdasarkan jenis sekolah, lokasi sekolah dan opsyen guru dalam mata pelajaran muzik.

6.2.4 Pencapaian objektif-objektif pelaksanaan kurikulum muzik dipengaruhi oleh faktor-faktor : (i) opsyen guru dalam Pendidikan Muzik, (ii) pengetahuan dan kemahiran asas muzik seseorang guru, (iii) pengalaman guru, (iv) minat murid terhadap muzik, (v) kaedah pengajaran muzik, (vi) kesediaan instrumen yang boleh dan sesuai digunakan dalam pengajaran muzik, dan (vii) keutamaan kepada Pendidikan Muzik oleh pihak pengurusan sekolah.

6.3 Pelaksanaan Pendidikan Muzik di Bilik Darjah
6.3.1 Dalam aspek pelaksanaan Pendidikan Muzik dalam bilik darjah Seramai 65% guru muzik dapat menyediakan perancangan pengajaran. Lebih daripada 70% guru muzik berjaya melaksanakan pengajaran mereka dengan kaedah yang sesua
Hanya di antara 50% - 55% daripada guru muzik berjaya melaksanakan pengajaran mereka dalam aspek-aspek penggunaan bahasa isyarat, mewujudkan suasana pengajaran kondusif, pengurusan alat-alat muzik serta pendekatan yang baik dalam memulakan dan menamatkan pengajaran dan pembelajaran.

6.3.2 Kejayaan melaksanakan Pendidikan Muzik tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor opsyen guru-guru dalam Pendidikan Muzik dan pengalaman mengajar mereka.

6.4 Masalah-masalah Yang Dihadapi Oleh Guru Muzik
6.4.1 Guru-guru muzik kurang menghadapi masalah dalam mengajar muzik mengikut tajuk, memahami, melaksana dan mencapai objektif kurikulum pendidikan muzik, saiz kelas dan kesediaan bilik khas untuk pendidikan muzik, alat-alat untuk pengajaran dan pembelajaran; penjadualan waktu untuk pendidikan muzik dan sokongan untuk pelaksanaan pendidikan muzik.
6.4.2 Bagi sebilangan kecil guru muzik, masalah yang mereka hadapi boleh dirumuskan seperti berikut iaitu alat-alat muzik di sekolah tidak mencukupi, bilik khas untuk pengajaran dan pembelajaran tidak ada di sebilangan sekolah, jadual waktu mata pelajaran pendidikan muzik tidak sesuai, peluang mengikuti kursus bagi guru-guru muzik berkenaan sangat terhad atau tidak ada langsung, penyenggaraan alat-alat muzik tidak memuaskan, dan bimbingan yang diterima oleh guru-guru muzik terlalu sedikit atau tidak ada langsung.
6.5 Peruntukan dan Keperluan Pendidikan Muzik

6.5.1 Peruntukan Grant Per Kapita (PCG)
Peruntukan pendidikan muzik bagi sekolah rendah menunjukkan ketiadaan rekod perbelanjaan yang kemas kini.


6.5.2 Peralatan Muzik
Majoriti (72.3%) guru besar sekolah rendah menyatakan bahawa peralatan muzik dikategorikan sebagai kurang mencukupi dan tidak mencukupi berbanding dengan hanya sebanyak 27.7% yang menyatakan di tahap yang memuaskan dan mencukupi.

6.5.3 Bilik Muzik
Majoriti (73.2%) guru besar melaporkan bahawa sekolah mereka tidak mempunyai kemudahan bilik muzik (khas) bagi keperluan pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik yang kondusif.

6.6 Penilaian Murid-murid Terhadap Pendidikan Muzik
6.6.1 Persepsi Murid ke atas Pendidikan Muzik
? Majoriti murid mempersepsikan Pendidikan Muzik membantu membina kebolehan dan bakat, meningkatkan pencapaian dan pembentukan diri dan guru-guru muzik menggalak mereka supaya meminati muzik.

? Murid bersikap positif terhadap muzik, iaitu bila dikaitkan dengan kepentingan pelajaran muzik, belajar muzik dan pendidikan muzik sebagai mata pelajaran di sekolah menengah.

? Majoriti murid melaporkan guru mereka mengajar kedua-dua aspek-aspek teori dan amali.

? Majoriti murid, terutamanya di bandar, berpuas hati dengan pelaksanaan Pendidikan Muzik kerana faktor-faktor personaliti guru, kemahiran guru dan minat terhadap muzik.

6.6.2 Murid-murid kepada muzik
Majoriti murid meminati muzik kerana bagi mereka muzik menyeronokkan, menghiburkan dan memberikan ketenangan. Mengikut urutannya, muzik moden (terutama rancak, rock, rap dan pop semasa) paling diminati oleh murid-murid diikuti oleh muzik tradisional dan muzik berunsurkan agama.

6.6.3 Dorongan ibu bapa / penjaga
Majoriti murid mempunyai ibu bapa yang menggalakkan mereka bermain muzik dan menyanyi. Bagi sebilangan kecil murid ibu bapa mereka tidak menggalakkan kerana lebih mementingkan peperiksaan, muzik memerlukan perbelanjaan yang besar dan batasan-batasan agama.
6.6.4 Buku rujukan untuk pendidikan muzik
Hanya sebilangan kecil murid melaporkan sekolah mereka menyediakan buku rujukan pendidikan muzik di perpustakaan / pusat sumber sekolah.

6.7 Persepsi Guru Muzik Terhadap Pendidikan Muzik
?
Guru-guru muzik mempunyai persepsi bahawa Pendidikan Muzik dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya berkesan dalam menghubungkan antara sekolah dan masyarakat dan dapat menjadikan sekolah sebagai tempat menyeronokkan.

? Penilaian ke atas pendidikan muzik berkesan menghubungkan antara sekolah dan masyarakat adalah berbeza-beza dalam kumpulan-kumpulan guru, iaitu guru-guru SJKT lebih tinggi berbanding guru-guru SK dan SJKC; guru-guru di bandar lebih tinggi berbanding guru-guru dari etnik lain; dan guru-guru berpengalaman mengajar muzik berbanding guru-guru bukan berpengalaman.

6.8 Persepsi Ibu Bapa Terhadap Pendidikan Muzik
? Ibu bapa mempersepsikan pendidikan muzik berguna untuk perkembangan diri murid-murid, mengeratkan perhubungan sekolah dengan masyarakat, melahirkan murid berkemahiran, berpengetahuan dan bersemangat patriotik dan menyediakan aktiviti-aktiviti yang berkesan dan menyeronokkan murid-murid.
? Aspek-aspek pendidikan muzik berguna untuk perkembangan diri murid-murid dan melahirkan murid berkemahiran, berpengetahuan dan bersemangat patriotik wujud perbezaan persepsi di antara kumpulan-kumpulan ibu bapa/penjaga mengikut tahap pendidikan, pekerjaan dan kelulusan mereka.

6.9 Persepsi Pengurus Kurikulum terhadap Pendidikan Muzik
? Pengurus kurikulum mempersepsikan pendidikan muzik sebagai penting dalam pembentukan diri murid-murid, menerap nilai dan memperkembangkan potensi diri murid-murid dan memupuk hubungan sekolah dengan masyarakat.

? Berdasarkan kumpulan pengurus kurikulum, pensyarah-pensyarah maktab dan nazir sekolah mempunyai penilaian yang lebih tinggi ke atas peranan pendidikan muzik berbanding kumpulan-kumpulan pengurusan kurikulum yang lain.


6.10 Pelaksanaan Aktiviti Kokurikulum di Sekolah Rendah
? Pelaksanaan aktiviti kokurikulum adalah aktif dan aktiviti kumpulan koir dan nasyid terserlah di SK manakala koir dan tarian di SJKC dan SJKT
? Murid-murid sekolah kerapkali mengambil bahagian dalam persembahan muzikal dan pihak sekolah memperuntukkan 20%. 30% masa pengajaran bagi tujuan latihan dan persembahan.

6.11 Cadangan-Cadangan Bagi Meningkatkan Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Muzik
? Kenalpasti keperluan guru muzik, penyediaan peralatan muzik, peluang-peluang kursus, latihan dan bengkel muzik dan guru beropsyen muzik mengajar muzik di sekolah.

? Kenalpasti keperluan bilik muzik, peruntukan kewangan khas bagi pendidikan muzik (PCG Muzik), pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik dan sukatan pelajaran pendidikan muzik yang kemas kini.

7.0 Cadangan Kajian
7.01 Guru-guru yang mengajar muzik hendaklah mempunyai minat, berkebolehan bermain muzik dan pengetahuan teori-teori muzik. Guru-guru yang mengajar muzik hendaklah terdiri dari guru beropsyen muzik.
7.02 Tingkatkan kursus dan latihan dalam bidang muzik bagi guru-guru mengajar muzik.

7.03 Penyeliaan ke atas pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik perlu dipantau oleh pegawai dan penyelia muzik.

7.04 Bakal-bakal guru yang ingin menjadi guru muzik hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan dalam bidang muzik di samping mempunyai minat dan bakat.

7.05 Semua sekolah rendah dibekalkan dengan alat-alat muzik yang mencukupi bagi mempastikan pengajaran dan pembelajaran muzik berjalan dengan sempurna.

7.06 Pendidikan muzik dijalankan di dalam suasana yang kondusif, harmonis dan menyeronokkan bagi meningkatkan minat murid terhadap pendidikan muzik.

7.07 Aktiviti kokurikulum seperti persatuan dan kelab muzik perlu digerakkan bagi meningkatkan minat murid-murid.




No comments:

Post a Comment